Thursday, September 24, 2009

Interaksi Mahasiswa Mahasiswi UMS dengan calon peperiksaan SPM & STPM kaum Kimaragang tahun 2009

Selamat sejahtera dan selamat menyambut hari raya 2009.

Adalah difahamkan bahawa Prof. Jedol bersama-sama rakan-rakan dan mahasiswa mahasiswi Kimaragang di UMS sedang berusaha untuk membawa para pelajar terbaik UMS untuk berinteraksi sambil belajar dengan pelajar-pelajar kaum kimaragang sekitar kawasan Tandek yang akan menduduki peperiksaan SPM dan STPM tahun 2009. Difahamkan juga bahawa beliau mendapat kerjasama penuh daripada pelajar-pelajar Sains dan Teknologi bagi mengendalikan program berkenaan.

Objektif program ini adalah untuk membantu calon-calon peperiksaan SPM dan STPM kaum Kimaragang menambahkan lagi keyakinan mereka dalam menghadapi peperiksaan. Ini boleh berlaku melalui perkongsian daripada mahasiswa mahasiswi UMS pengalaman mereka terdahulu.

Didapati bahawa setelah Anugerah Pelajar Kimaragang Cemerlang 2008 dianjurkan oleh Prof. Jedol dan rakan-rakan melalui Persatuan Alumni Kimaragang Tandek, bilangan pelajar kaum Kimaragang yang berjaya mlanjutkan pelajaran ke UMS meningkat sehingga menghampiri 20 bagi tahun akademik 2009/2010 (diramalkan peningkatan serupa juga berlaku di universiti lain). Mungkin ini satu kebetulan atau memang program seumpamanya memberikan dorongan kepada anak-anak Kimaragang untuk berusaha mencapai kecemerlangan akademik. Jika benar program seumpamanya memberikan kesan positif, satu koordinasi antara pensyarah-pensyarah UMS dengan guru-guru di sekolah-sekolah menengah kawasan Tandek perlu diwujudkan untuk merangka program seumpamanya secara berkala. Daripada kesan positif yang ditunjukkan oleh program Anugerah Pelajar Kimaragang Cemerlang 2008, Prof. Jedol percaya program interaksi sambil belajar yang bakal dilaksanakan ini akan memberikan impak yang lebih besar kepada kecemerlangan pelajar-pelajar Kimaragang.

Sahubungan dengan program interaksi berkenaan, Prof. Jedol dan rakan-rakan berharap agar ianya akan mendapat sambutan terutamanya di kalangan ibu-bapa dan guru-guru untuk mendorong para pelajar mengambil bahagian dalam program ini. Kebimbangan Prof. Jedol dan rakan-rakan sehingga masa ini adalah mereka belum mempunyai sumber kewangan untuk menjayakan program berkenaan. Antara keperluan sumber kewangan adalah untuk menampung perbelanjaan tempat tinggal, makan dan pengangkutan para fasilitator.

Maklumat berkenaan program interaksi ini akan dimuatkan dari masa ke semasa dalam ruang blog ini. Sehingga itu, diharapkan agar program ini akan mendapat sokongan daripada semua pihak yang terlibat.

No comments:

Post a Comment